Pemasaran Sukan Olimpik Musim Panas 2012

Lagu rasmi

"Survival", single keluaran kugiran Inggeris Muse, merupakan lagu rasmi Sukan Olimpik.[294] Ia disiarkan apabila para atlit berarak memasuki stadium dan pada tika sebelum upacara penyampaian pingat; penyiar-penyiar seluruh dunia turut memainkannya ketika melaporkan perkembangan temasya.[295]

Setem

Kedai mudah alih di VISA FIVB Beach Volleyball International (2011)

Pada Ogos 2009, Royal Mail memohon khidmat para pelukis untuk melukis 30 reka bentuk setem yang dikeluarkan secara kelompok bersepuluh pada tahun 2009 hingga 2011. 30 setem ini melambangkan Sukan Olimpik Musim Panas ke-30. Setiap setem memaparkan satu acara sukan Olimpik atau Paralimpik serta logo London 2012.[296] Royal Mail pernah mencadangkan agar gambar foto disertakan, tetapi cadangan itu diketepikan kerana hanya foto tokoh yang sudah meninggal dibenarkan untuk ditampilkan pada setem; satu-satunya tokoh hidup yang boleh ditampilkan pada setem ialah Ratu.[297]

Syiling

Dua butir syiling £5 dihasilkan untuk menyambut Sukan Olimpik London 2012, rekaan Saiman Miah, seorang penuntut seni bina tempatan yang keturunan Bangladesh.[298][299] Seperti temasya sukan Olimpik yang lain sejak tahun 1952, Royal Mint mengilangkan satu set syiling emas dan perak kenang-kenangan satu kilogram,[300] tetapi ini hanya dibenarkan setelah digubalnya satu Akta Parlimen, iaitu Akta Pencetakan Duit Syiling (Sukatan) 2011.

Chariots of Fire

Filem pemenang Anugerah Akademi, Chariots of Fire keluaran 1981 yang mengisahkan kejayaan sukan Britain pada Sukan Olimpik 1924, turut dijadikan tema yang ditampilkan berulang kali dalam promosi Sukan Olimpik London 2012. Lagu tema filem ini didendangkan pada acara bunga api sambutan Tahun Baru London 2012 sempena menyambut Olimpik,[301] manakala babak larian pantai dalam filem itu serta lagu temanya ditampilkan dalam iklan "Let's Make It Great, Britain" yang disiarkan oleh akhbar The Sun.[302] Lima ribu orang pelari yang menyertai larian uji pendahuluan Taman Olimpik juga didorong oleh lagu tema Chariots of Fire.[303]

Dalam sambutan rasmi Festival London 2012, filem Chariots of Fire versi remaster ditayangkan di 100 buah pawagam di seluruh UK mulai 13 Julai 2012, dua minggu sebelum upacara pembukaan Olimpik.[304] Filem tersebut turut diadaptasikan dalam bentuk pementasan sempena Olimpik, mulai 9 Mei di Teater Hampstead, kemudian berpindah ke West End pada 23 Jun.[305]

Rujukan

WikiPedia: Sukan Olimpik Musim Panas 2012 http://www.insidethegames.biz/olympics/summer-olym... http://www.businesswire.com/news/home/201104100050... http://www.engadget.com/2012/06/06/youtube-london-... http://www.gamesbids.com/eng/future_olympic_games/... http://abcnews.go.com/Travel/wireStory?id=10171244 http://www.irishtimes.com/newspaper/breaking/2011/... http://www.ksl.com/?nid=148&sid=20827055 http://www.latimes.com/entertainment/arts/culture/... http://www.london2012.com/about-newlook-video.html http://www.london2012.com/about-us/the-people-deli...